Sunday, March 8, 2009

Buat adik2 yang ingin menjadi doktor.....

Modal insan adalah merupakan aset negara yang paling berharga. Justeru, Kerajaan sentiasa mempergiatkan usaha-usaha yang berterusan untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti. Penajaan biasiswa bagi para pelajar untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara adalah merupakan salah satu inisiatif yang perlu diteruskan. Ini merupakan pelaburan jangka panjang yang hasilnya bakal dinikmati apabila mereka pulang berkhidmat dan seterusnya menjamin kesinambungan keupayaan negara di masa akan datang.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan Program Ijazah Luar Negara (PILN) bagi tahun 2009 untuk pelajar cemerlang lepasan SPM 2008 mengikuti pengajian di universiti luar negara dalam bidang-bidang kritikal (Perubatan, Pergigian, Farmasi dan Sains Perubatan Veterinar), Kejuruteraan, Sains & Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara. Jumlah keseluruhan bilangan biasiswa yang disediakan bagi tahun 2009 adalah 2,000.

Setiap tahun PILN menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa. Pada tahun 2008, misalnya, JPA telah menerima sebanyak 15,220 permohonan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,282 permohonan memenuhi syarat minimum yang ditetapkan sedangkan bilangan biasiswa yang ditawarkan adalah terhad iaitu sebanyak 2,000 sahaja.

Bidang pengajian yang menerima permohonan terbanyak ialah Perubatan, manakala, negara pengajian yang menjadi pilihan utama calon ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand. Walau bagaimanapun, semua permohonan tidak boleh dipenuhi kerana tertakluk kepada kekangan kuota pelajar asing bagi bidang perubatan di universiti luar negara.

Berdasarkan pengalaman lalu, bilangan permohonan bagi tahun 2009 dijangka akan meningkat di kalangan calon yang cemerlang. Namun bilangan biasiswa yang terhad akan menjadikan PILN terus kompetitif. JPA, dengan ini, menasihatkan agar calon serta ibu bapa menerima hakikat ini dan berusaha untuk menimbangkan sumber-sumber alternatif penajaan yang lain.

Menyedari persaingan yang kompetitif dalam PILN 2009, usaha penambahbaikan terhadap kriteria pemilihan telah dimantapkan meliputi pencapaian akademik, penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum, sosio-ekonomi (termasuk tanggungan keluarga) dan prestasi temuduga.

Mulai tahun ini, panel temu duga dilantik daripada pegawai-pegawai Kerajaan pelbagai profesion dan kaum mengikut bidang-bidang tajaan. Misalnya, pelajar-pelajar yang memilih bidang perubatan/kesihatan akan ditemu duga oleh pegawai perubatan/pergigian/ farmasi yang terdiri daripada pelbagai kaum. Satu jawatankuasa khas akan menyelia urusan temu duga bagi memastikan pelaksanaannya telus, adil dan saksama.

Temu duga akan dijalankan secara berkumpulan mengikut bidang-bidang pengajian (misalnya perubatan/pergigian/farmasi/perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi dan sains sosial). Setiap satu kumpulan terdiri daripada empat orang calon dalam kelompok yang sama dan calon-calon ini akan ditemu duga dan mengadakan perbincangan mengikut topik yang diberikan oleh panel dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, calon yang memohon untuk mengikuti program perubatan adalah diwajibkan menghadiri Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor. Program ini akan dilaksanakan selama lima hari mulai 23 hingga 27 Mac 2009 di 49 buah hospital-hospital Kerajaan yang telah dikenalpasti dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia. Aspek-aspek yang didedahkan adalah seperti keadaan dan tanggungjawab seorang doktor di Jabatan Kemalangan/Kecemasan, Jabatan Pesakit Luar, Jabatan Pembedahan/ O&G/Orthopedik, pengurusan di bilik mayat, on-call dan lain-lain yang bersesuaian.

Calon-calon yang berjaya ditawarkan penajaan PILN akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA. Calon-calon diingatkan supaya mengekalkan tahap kecemerlangan mereka kerana penajaan ke universiti-universiti di luar negara hanya akan diteruskan ke atas mereka yang mencapai had kecemerlangan (cut-off point) yang ditetapkan, rekod kehadiran kelas melebihi 90 peratus dan tiada rekod disiplin.

Calon-calon yang tidak berjaya mendapat biasiswa di bawah PILN masih berpeluang untuk mendapat tajaan JPA di IPT tempatan yang diiktiraf termasuk kampus-kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia (University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology) dan AIMST University.

Permohonan Tajaan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2009 Bagi Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2008

  1. Permohonan adalah dipelawa daripada calon-calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 untuk mendapatkan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengikuti pengajian di bawah Program Ijazah Luar Negara tahun 2009.
  2. Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi atas talian (on-line application) melalui laman web http://www.jpa.gov.my mulai tarikh keputusan SPM 2008 diumumkan secara rasmi.
  3. Tarikh tutup permohonan tajaan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2009 adalah 7 hari selepas permohonan dibuka.
  4. Maklumat lanjut mengenai program/bidang kursus, syarat-syarat permohonan dan cara memohon boleh diperoleh dengan melayari laman web http://www.jpa.gov.my mulai tarikh iklan ini disiarkan. Calon hendaklah membaca dan memahami kesemua maklumat mengenai program/bidang kursus, syarat-syarat permohonan dan cara memohon sebelum membuat permohonan.
  5. Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor di hospital-hospital Kerajaan yang terpilih di seluruh negara akan diadakan selama 5 hari mulai 23 sehingga 27 Mac 2009. Program ini diwajibkan kepada semua calon yang memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di bawah tajaan JPA.
  6. Calon-calon dikehendaki menyemak maklumat terkini mengenai permohonan melalui laman web http://www.jpa.gov.my:
    1. Keputusan panggilan bagi mengikuti program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor : 18 Mac 2009
    2. Keputusan panggilan temuduga JPA : 25 Mac 2009
  7. Temuduga JPA akan dijalankan di beberapa pusat di seluruh negara mulai 31 Mac hingga 3 April 2009. Bagi calon yang terpilih untuk menghadiri temuduga diwajibkan untuk membawa Borang Pengesahan Pendapatan Bulanan Keluarga yang telah disahkan dan dokumen-dokumen lain yang ditetapkan.
  8. Pelajar-pelajar yang memohon tajaan MARA boleh menyemak maklumat terkini mengenai permohonan melalui laman web http://www.mara.gov.my :
    1. Keputusan panggilan dan maklumat temuduga MARA : 27 Mac 2009
  9. Pertanyaan mengenai masalah teknikal semasa mengisi borang permohonan atas talian boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-88853550 atau 03-88853559. Talian-talian ini dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam mulai tarikh keputusan SPM 2008 diumumkan secara rasmi.
  10. Pertanyaan mengenai program tajaan JPA boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-88853892 (10 talian), pada setiap hari bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel di alamat piln2009@jpa.gov.my
  11. Pertanyaan mengenai program tajaan MARA boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA di talian 03-26915111 (sambungan 1133, 1109, 1120, 3623, 3624, 3629, 3620 dan 3619) pada setiap hari bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel di alamat webmaster@mara.gov.my.
  12. Calon-calon hendaklah sentiasa melayari laman web http://www.jpa.gov.my dan laman web http://www.mara.gov.my dari semasa ke semasa untuk mengetahui perkembangan dan pengumuman terkini mengenai permohonan PILN 2009.


1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum cikgu...
sye ade satu soalan...
program pndedahan kerjaya seorang doktor tu akan dimaklumkan kepada pelajar yg memohon utk bidg p'ubatan Jpa setelah membuat permohoonan ye?
atau....
sye perlu mengikuti program ini dahulu sebelum membuat permohonan untuk isi borg JPA.....
jika ya....
bila dab bagaimana sye boleh mengetahui tentang program ini?
terima kasih byk2
wslm....